Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kulit kayu manis yang mengan­dungi ‘coumarin’ iaitu sejenis bahan semula jadi yang memberi perasa kepada makanan dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan.
Katanya, kulit kayu manis jenis ‘cassia’ yang berasal dari selatan China serta jenis ‘cinnamon’ atau ‘Ceylon cinnamon’ dari Sri Lanka adalah daripada keluarga yang sama dan kedua-duanya mengandungi ‘coumarin.
“Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, ‘coumarin’ dibenarkan dalam rempah ratus tidak melebihi 10 miligram perkilogram (mg/kg).
“Berdasarkan penggunaannya yang rendah dalam masakan dan hanya digunakan sebagai bahan rempah untuk memberi perisa dalam makanan, ia tidak akan menjejaskan kesihatan dalam kalangan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian ekoran penyebaran khabar angin bahawa kulit kayu manis yang dijual boleh mendatangkan kesan kesihatan kepada hati dan buah pinggang yang kini menjadi viral di laman sosial Facebook dan WhatsApp.
Menurut Noor Hisham, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin.
“Sekiranya pengguna masih ragu-ragu, mereka boleh membuat aduan kepada kementerian sama ada melalui pejabat kesihatan yang terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhg,” katanya.